Saturday 23 June 2012

Apabila fitrah menjadi fitnah


Oh cinta!

Cinta adalah fitrah yang lahir dari lubuk hati setiap manusia. Setiap manusia memiliki fitrah untuk mencintai dan dicintai, tapi cinta itu hendaklah dibina atas dasar keimanan agar ia tidak akan menjadi fitnah. Sering kita dengar bahawa cinta antara lelaki dan perempuan ajnabi itu akan halal selepas selesainya akad nikah. Ramai yang mengakuinya, namun ramai juga yang tidak mengendahkannya.

Perasaan cinta itu tidak salah kerana ia adalah anugerah Allah. Kita hendaklah memeliharanya daripada menjadi fitnah duniawi. Tanpa kita sedari kehadirannya akan membawa wabak yang agak susah untuk dipadam kalau tidak berjaga-jaga dari awal. Cinta itu perlulah di salurkan ditempat yang sepatutnya agar kita tidak dilabelkan zalim yakni meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Cinta itu begitu indah bila di hayati dengan aturan Islam.

Diri ini sering tertanya-tanya, adakah dengan bercouple itu maka lengkapnya sebuah kebahagiaan kehidupan ini? Persoalan ini timbul apabila melihat ramai kawan-kawan terdekat bercouple.

Benarkah cinta itu wujud apabila kita mempunyai pasangan kekasih yang selalu bertanya khabar, bersms sentiasa, berchating di facebook, atau berjumpa (dating) berdua-duaan untuk melepas rindu, bergayut di telefon berjam-jam. Kemanakah hala tuju perhubungan itu, adakah direstui keluarga atau persoalan yang lagi besar adakah perhubungan itu diredhai Allah? Adakah ini semua dinamakan cinta?

Persoalan ini sering berlegar dimindaku tanpa ada noktah jawapannya. Astgahfirullahalazim, bermuhasabahlah teman-teman, moga diri kita tidak tergolong dalam kalangan hamba yang lalai dengan cinta duniawi ini.

Berdasarkan pemerhatian, aku sering melihat dan mendengar pelbagai karenah rakan-rakan yang bercouple ini. Sebagai contoh menghabiskan banyak masa semata-mata ingin bersama si dia meluahkan janji-janji manis dengan suara yang sengaja dilunakkan dan dilembutkan. Bukankah suara itu juga sebahagian dari aurat kita sahabatku. Imam As-suddi berkata:   larangan kepada kaum wanita menipiskan suranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat ( Tafsir Ibn Kathir, 3/483; Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 14/177).

Maka, kita hendaklah menjaga nada suara dan cara pergaulan untuk mengelakkan fitnah ini. Allah juga berfirman, “Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit dihatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik (kandungan dan tatacaranya).” (Al-Ahzab:32).


Mengapa perlu diucap perkataan sayang, cinta, rindu kepada yang bukan halal lagi bagi kita? Simpanlah kata-kata manismu untuk si dia yang halal bagimu bukan kepada yang membawa kamu ke jalan kemaksiatan. Apabila ditanya persoalan tentang perkahwinan, mereka terdiam sepi kerana tiada jawapan. Bukankah lebih elok jika dipercepatkan perkahwinannya. Rasulullah s.a.w. bersabda: tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya (H.R. Tirmidzi).

Benarkah dengan keluar bersama kita dapat mengenali pasangan dengan lebih baik atau sekadar untuk mendapat perhatian serta hanya untuk keseronokan dunia. Ataupun sebagai tempat untuk mengadu segala masalah. Bukankah Allah itu  tempat terbaik untuk berbicara dari hati ke hati. Ayat-ayat cintaNya itulah penawar duka lara kita ketika susah senang dan   dapat mententeramkan hati kita. Selari dengan ayatNya: “ Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu hati akan tenang,” (Ar- Raad:28)

Kadang-kadang terdengar ramai lelaki yang mengatakan perempuan itu sombong. Kenapa boleh berkata begitu? Kita haruslah berfikir positif. Apabila si perempuan tidak menjawab salam atau tidak membalas teguran, itu bukannya sombong, tapi itu adalah untuk menjaga diri. Sedarlah lelaki diluar sana, jika anda mahu ibu kepada anak-anak anda baik, maka jadikanlah diri anda baik dahulu. Jika anda ingin dihormati, hormatilah pasangan yang bakal anda nikahi terlebih dahulu begitu juga sebaliknya. Bertepatan dengan firman Allah yang sering kita dengari yang bermaksud “Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga).” (surah An-nur:26)

Hatiku lagi pedih bila terpandang atau memang memandang rakan-rakan yang betudung labuh litup, tak lupa ada juga yang sebilangannya yang berpudah tapi malangnya mengambil istilah couple islamik. Benarkah couple islamik itu wujud? Bukankah couple itu haram? Kerana ia menjalinkan kasih sayang dengan bukan mahramnya tanpa ikatan yang halal. Bukankah mereka lebih berpengetahuan agama dan lebih mengerti akan perkara ini?

Sedarlah wahai teman, itu hanyalah sandiwara syaitan yang ingin mempermainkan dirimu. Dimanakah malumu sahabat. Tahukah kamu bagaimana sifat malu Rasulullah? Sayyiduna Abu Said al-Khudri radiyallahu’anhu berkata, “Rasulullah seorang yang amat pemalu melebihi sifat malu seorang anak dara didalam biliknya.” Dimanakah maruahmu sahabat. Dengan perbuatanmu ini, ia dapat merosakkan nama baik muslimah yang lain, yang benar-benar menutup auratnya untuk menuju redha Ilahi. Bak kata pepatah Melayu, “kerana nila setitik, habis susu sebelanga.”

Kenapa perlu ada couple? Kenapa ia menjadi satu trend? Adakah ia pengaruh dari kawan-kawan? Banyak kata-kata cinta dikongsi bersama di facebook, tetapi sejauh manakah ia memberi kesan kepada hati kita. Dengan bicara kata-kata indah, puisi yang begitu cantik susunan bahasanya, bolehkan ia memberi kesan dan menjadi pengajaran serta peringatan untuk diri sendiri? Ingatlah, dengan mengingatiNya hati kita  akan menjadi tenang. Kita sering mendambakan kata-kata yang indah, lupakah kita ayat-ayat dariNya begitu indah bila kita mengamalkan dan mentadaburkan maknanya bersama mengamalkan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.


Penting sangatkah bercouple? Kenapa ia boleh berlaku? Adakah kerana hati kita kosong? Sedarkah teman-teman termasuk diri ini, mengapa kadang-kadang hati kita merasa kosong? Bila hati rasa tidak tenang, bermuhasabahlah, fikir balik adakah kita sudah selesaikan tanggungjawab kepada Tuhan? Bila rasa susah hati, tanya pada diri adakah kita ada berhutang dengan siapa di luar sana? Bila hati terasa sedih, fikir balik pengorbanan apa yang kita tidak pernah buat dan apa pengorbanan orang lain kepada kita? Untuk mendapat ketenangan hati, bukanlah pergi mengadu kepada kekasih hati, tapi mengadulah pada Ilahi.

Kita hendaklah sentiasa berdoa kepada orang lain juga dan jangan kedekut dengan hanya berdoa untuk diri sendiri sahaja. Kerana dengan berdoalah hubungan kita dengan Allah menjadi lebih baik dan menjadi peringatan untuk diri sendiri supaya menjauhi kemungkaran di dunia ini untuk mendapat syurgaNya disana. Cinta suci yang seharusnya kita garapkan dahulu ialah cinta kepada Allah, Rasulullah dan kedua ibubapa.

Sebelum mengundur diri, nasihat terakhir untuk teman-teman sekalian termasuk diri ini juga ialah jagalah maruah diri, dan yang utama ialah jaga hati. Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: “Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging ( segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, iaitu hati.”  Kerana hatilah kita boleh tersasar jatuh cinta, maka jagalah hatimu dengan sentiasa berzikir padaNya. "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

Berhati-hatilah dengan hatimu, kerana dirimu begitu berharga dipandangan Allah bukan di pandangan si dia. Cinta Allah terlalu Agung berbanding cinta si dia yang boleh hilang dan meninggalkan dirimu pada bila-bila masa sahaja. Cinta Allah kekal selamanya sampai ke syurga dan yakinlah pada janjiNya untuk pertemuan dengan si halal bagi menyempurnakan kasih sayang dimuka bumi yang terindah ini. Masa dan waktu menentukan segalanya berserta doa yang sering dipanjatkan kepadaNya. Jagalah cinta kalian untuk yang halal sahaja. InsyaAllah, masa itu akan tiba. Bersabarlah teman dengan memperbaiki diri serta mencari ilmu rumahtangga yang bakal kita tempuhi.


Sebagai penutup kalam ini, saya ingin bawakan satu dalil Hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memadam yang buruk dengan buruk juga, tetapi yang buruk (haram) dipadamkan dengan yang baik (halal). Sesungguhnya yang kotor itu tidak boleh mensucikan yang kotor.” (Riwayat Ahmad, 1/387: Perawi Ahmad adalah thiqah kecuali sebahagiannya khilaf; Majma’Az-Zawaid, 10/228). Setiap permasalahan couple itu ada penyelesaiannya iaitu bernikah.

Semua itu fitrah kita sebagai manusia biasa, perasaan ini adalah anugerah Allah yang tidak ternilai harganya, peliharalah keindahan perasaan cinta yang dikurniakanNya, jangan sampai kesuciaan dan kemuliaan ini menimbulkan fitnah dan menjadi sangkaan yang tidak baik kepada sesetengah masyarakat yang melihatnya. Jadilah contoh yang terbaik dalam mengikuti sunnah Rasulullah membina ikatan pernikahan. Percintaan selepas perkahwinan itu adalah salah satu jalannya. Maka, jagalah diri, jagalah hati dan jagalah iman kita. InsyaAllah dipermudahkan segala urusan.

6 comments:

  1. Jika seseorang itu bercouple,tetapi couple seseorang ini memang berbeza.Beliau ini bercouple tetapi tidak pernah berjalan berdua-duan,tidak pernah bersentuhan,tidak pernah bersama-sama,hanya melihat dari jauh sahaja dengan sebentar jika ternampak.

    ReplyDelete
  2. ...dan beliau ini sentiasa meningatkan teman lelakinya ini utk tidak lupa Allah,sentiasa taat kpdNya & kedua org tuanya.

    ReplyDelete
  3. ....dan beliau hanya melakukan conversastion mereka melalui facebook,tetapi beliau ini mengetahui batas2 beliau,dan beliau ini memikirkan adakah bercouple itu haram or tidak bginya? Kerana beliau tidak tahan perasaan cinta yg ada d dlm dirinya,lalu beliau memutuskan utk bercouple tetapi dgn cara yg terbatas skali,dan sekali gus juga perempuan ini ingin mengubah sikap lelaki ini yg lupakan Allah,maksud saya d sni,hanya kadang2 lelaki ini mengerjakan suruhanNya,lalu perempuan ini ingin mengubah sikap lelaki ini.Dan beliau berjaya sedikit mengubah sikap lelaki ini kpd sentiasa mengingati Allah,jadi adakah still haram baginya? Ps minta maaf tentang bahasa bercampur aduk,saya org Brunei :) tolong berikan jawapannya yee. ^^

    ReplyDelete
    Replies
    1. sebagaimana yang kita tahu, dapat Islam tiada istilah couple. Di sini, pihak lelaki boleh mengambil langkah untuk merisik pihak perempuan supaya dapat menghalalkan cinta dan teguran membina dengan ikatan sah melalui akad nikah. :)

      moga jawapan ini menjawab persoalan saudari S Khadijah Ali.
      terima kasih.^^

      Delete
  4. macam mana nak tahu cinta kita pada hamba allah itu satu fitnah ataupun satu fitrah ? And macam mana nak buang rindu kita pada hamba allah itu ?

    ReplyDelete
  5. macam mana nak tahu cinta kita pada hamba allah itu satu fitnah ataupun satu fitrah ? And macam mana nak buang rindu kita pada hamba allah itu ?

    ReplyDelete

Ya Allah! aku tidak layak untuk syurga-Mu, namun aku juga takut azab neraka-Mu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...