Monday, 11 June 2012

Bahagia Dalam Memberi Kebahagiaan



Sesiapa yang mampu membahagiakan orang lain pasti hidup mereka juga akan bahagia. Punca untuk memperoleh kebahagiaan itu banyak, salah satunya adalah mendoakan mereka.

Setiap kali selepas solat, doakanlah juga untuk Muslim yang lain. InsyaAllah setiap doa itu didengariNya.  Dan Allah berfirman, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu…” Surah Al-Mukmin ayat 60.

Bahagiakanlah mereka dengan kebaikan yang kita hulurkan. Jika kita tidak mampu untuk membahagiakan orang lain, jangan pula kita melukakannya hatinya.

Di kala kita bahagia, jangan melupakan kewujudan mereka. Tetapi ajaklah mereka untuk bergembira sekali dengan kesyukuran terhadap Ilahi.

Ikhlaslah niatmu untuk membahagiakan mereka, bukan kerana ganjaran yang dipinta, tapi cukuplah sekadar dengan janji Allah yang pasti.

Bahagiakan mereka dengan kemaafan jika wujudnya kesilapan kerana setiap kali kita memaafkannya, hati kita akan menjadi tenang. Jika ada permasalahan, berterus teranglah. Tiada lagi perselisihan pendapat yang akan mencelarukan keadaan sekeliling.

Sikap pemaaf itu datang dari jiwa dan  hati yang ikhlas. Ianya perlu dididik dan ditanam dalam diri agar dapat dibuang sikap yang buruk iaitu untuk membalas dendam.  Seseorang yang pemaaf mempunyai sikap yang tenang pewatakannya, pemikiran yang terbuka dan senang untuk diajak berbincang.

Jadilah orang yang sering memberi manfaat kepada orang lain, agar mereka bahagia dengan kehadiran kita. Usah dikira pengorbanan yang kita lakukan, tapi lihatlah wajah kegembiraan orang yang menerimanya.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu." (Hadis Riwayat Ibnu Abi Dunya)


Justeru itu, jadilah orang yang bahagia dengan memberi kebahagian kepada orang lain. InsyaAllah, nikmat kebahagiaan itu akan kita perolehi dengan rasa penuh gembira serta bersyukur padaNya. Maka, setiap perbuatan yang baik itu akan di balas baik sebagaimana Allah berfirman, “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat ma’ruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barang siapa yang berbuat demikian karena mencari keredhaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar” (An-Nisa: 114). Mari kita sebarkan kebaikan dan  kebahagian kepada teman-teman, keluarga serta jiran tetangga. Semoga kebahagaian itu milik semua orang.

No comments:

Post a Comment

Ya Allah! aku tidak layak untuk syurga-Mu, namun aku juga takut azab neraka-Mu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...