Oh cinta!
Cinta adalah fitrah yang lahir dari lubuk hati setiap manusia.
Setiap manusia memiliki fitrah untuk mencintai dan dicintai, tapi cinta itu
hendaklah dibina atas dasar keimanan agar ia tidak akan menjadi fitnah. Sering
kita dengar bahawa cinta antara lelaki dan perempuan ajnabi itu akan
halal selepas selesainya akad nikah. Ramai yang mengakuinya, namun ramai juga
yang tidak mengendahkannya.
Perasaan cinta itu tidak salah kerana ia adalah anugerah Allah. Kita
hendaklah memeliharanya daripada menjadi fitnah duniawi. Tanpa kita sedari kehadirannya
akan membawa wabak yang agak susah untuk dipadam kalau tidak berjaga-jaga dari
awal. Cinta itu perlulah di salurkan ditempat yang sepatutnya agar kita tidak
dilabelkan zalim yakni meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Cinta itu
begitu indah bila di hayati dengan aturan Islam.
Diri ini sering tertanya-tanya, adakah dengan bercouple itu
maka lengkapnya sebuah kebahagiaan kehidupan ini? Persoalan ini timbul apabila
melihat ramai kawan-kawan terdekat bercouple.
Benarkah cinta itu wujud apabila kita mempunyai pasangan kekasih
yang selalu bertanya khabar, bersms sentiasa, berchating di facebook,
atau berjumpa (dating) berdua-duaan untuk melepas rindu, bergayut di telefon
berjam-jam. Kemanakah hala tuju perhubungan itu, adakah direstui keluarga atau
persoalan yang lagi besar adakah perhubungan itu diredhai Allah? Adakah ini
semua dinamakan cinta?
Persoalan ini sering berlegar dimindaku tanpa ada noktah jawapannya.
Astgahfirullahalazim, bermuhasabahlah teman-teman, moga diri kita tidak
tergolong dalam kalangan hamba yang lalai dengan cinta duniawi ini.
Berdasarkan pemerhatian, aku sering melihat dan mendengar pelbagai
karenah rakan-rakan yang bercouple ini. Sebagai contoh menghabiskan
banyak masa semata-mata ingin bersama si dia meluahkan janji-janji manis dengan
suara yang sengaja dilunakkan dan dilembutkan. Bukankah suara itu juga
sebahagian dari aurat kita sahabatku. Imam As-suddi berkata: larangan kepada kaum wanita menipiskan suranya
(lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam
Qurtubi pula mengatakan kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang
lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat ( Tafsir Ibn Kathir, 3/483;
Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 14/177).
Maka, kita hendaklah menjaga nada suara dan cara pergaulan untuk
mengelakkan fitnah ini. Allah juga berfirman, “Maka janganlah kamu wahai
wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang
berpenyakit dihatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan
kata-kata yang baik (kandungan dan tatacaranya).” (Al-Ahzab:32).
Mengapa perlu diucap perkataan sayang, cinta, rindu kepada yang
bukan halal lagi bagi kita? Simpanlah kata-kata manismu untuk si dia yang halal
bagimu bukan kepada yang membawa kamu ke jalan kemaksiatan. Apabila ditanya
persoalan tentang perkahwinan, mereka terdiam sepi kerana tiada jawapan.
Bukankah lebih elok jika dipercepatkan perkahwinannya. Rasulullah s.a.w.
bersabda: tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila
telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan
anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya (H.R. Tirmidzi).
Benarkah dengan keluar bersama kita dapat mengenali pasangan dengan
lebih baik atau sekadar untuk mendapat perhatian serta hanya untuk keseronokan
dunia. Ataupun sebagai tempat untuk mengadu segala masalah. Bukankah Allah
itu tempat terbaik untuk berbicara dari
hati ke hati. Ayat-ayat cintaNya itulah penawar duka lara kita ketika susah
senang dan dapat mententeramkan hati
kita. Selari dengan ayatNya: “ Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu
hati akan tenang,” (Ar- Raad:28)
Kadang-kadang terdengar ramai lelaki yang mengatakan perempuan itu
sombong. Kenapa boleh berkata begitu? Kita haruslah berfikir positif. Apabila
si perempuan tidak menjawab salam atau tidak membalas teguran, itu bukannya
sombong, tapi itu adalah untuk menjaga diri. Sedarlah lelaki diluar sana, jika
anda mahu ibu kepada anak-anak anda baik, maka jadikanlah diri anda baik
dahulu. Jika anda ingin dihormati, hormatilah pasangan yang bakal anda nikahi
terlebih dahulu begitu juga sebaliknya. Bertepatan dengan firman Allah yang
sering kita dengari yang bermaksud “Perempuan-perempuan yang keji untuk
laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang
keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik
(pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh
ampunan dan rezeki yang mulia (syurga).” (surah An-nur:26)
Hatiku lagi pedih bila terpandang atau memang memandang rakan-rakan
yang betudung labuh litup, tak lupa ada juga yang sebilangannya yang berpudah
tapi malangnya mengambil istilah couple islamik. Benarkah couple islamik itu
wujud? Bukankah couple itu haram? Kerana ia menjalinkan kasih sayang dengan
bukan mahramnya tanpa ikatan yang halal. Bukankah mereka lebih berpengetahuan
agama dan lebih mengerti akan perkara ini?
Sedarlah wahai teman, itu hanyalah sandiwara syaitan yang ingin
mempermainkan dirimu. Dimanakah malumu sahabat. Tahukah kamu bagaimana sifat
malu Rasulullah? Sayyiduna Abu Said al-Khudri radiyallahu’anhu berkata,
“Rasulullah seorang yang amat pemalu melebihi sifat malu seorang anak dara
didalam biliknya.” Dimanakah maruahmu sahabat. Dengan perbuatanmu ini, ia dapat
merosakkan nama baik muslimah yang lain, yang benar-benar menutup auratnya
untuk menuju redha Ilahi. Bak kata pepatah Melayu, “kerana nila setitik, habis
susu sebelanga.”
Kenapa perlu ada couple? Kenapa ia menjadi satu trend?
Adakah ia pengaruh dari kawan-kawan? Banyak kata-kata cinta dikongsi bersama di
facebook, tetapi sejauh manakah ia memberi kesan kepada hati kita.
Dengan bicara kata-kata indah, puisi yang begitu cantik susunan bahasanya,
bolehkan ia memberi kesan dan menjadi pengajaran serta peringatan untuk diri
sendiri? Ingatlah, dengan mengingatiNya hati kita akan menjadi tenang. Kita sering mendambakan
kata-kata yang indah, lupakah kita ayat-ayat dariNya begitu indah bila kita
mengamalkan dan mentadaburkan maknanya bersama mengamalkan apa yang disuruh dan
meninggalkan apa yang dilarang.
Penting sangatkah bercouple? Kenapa ia boleh berlaku? Adakah
kerana hati kita kosong? Sedarkah teman-teman termasuk diri ini, mengapa
kadang-kadang hati kita merasa kosong? Bila hati rasa tidak tenang,
bermuhasabahlah, fikir balik adakah kita sudah selesaikan tanggungjawab kepada
Tuhan? Bila rasa susah hati, tanya pada diri adakah kita ada berhutang dengan
siapa di luar sana? Bila hati terasa sedih, fikir balik pengorbanan apa yang
kita tidak pernah buat dan apa pengorbanan orang lain kepada kita? Untuk
mendapat ketenangan hati, bukanlah pergi mengadu kepada kekasih hati, tapi mengadulah
pada Ilahi.
Kita hendaklah sentiasa berdoa kepada orang lain juga dan jangan
kedekut dengan hanya berdoa untuk diri sendiri sahaja. Kerana dengan berdoalah
hubungan kita dengan Allah menjadi lebih baik dan menjadi peringatan untuk diri
sendiri supaya menjauhi kemungkaran di dunia ini untuk mendapat syurgaNya
disana. Cinta suci yang
seharusnya kita garapkan dahulu ialah cinta kepada Allah, Rasulullah dan kedua
ibubapa.
Sebelum mengundur diri, nasihat terakhir untuk teman-teman sekalian
termasuk diri ini juga ialah jagalah maruah diri, dan yang utama ialah jaga
hati. Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: “Ketahuilah bahawa dalam jasad
manusia ada seketul daging ( segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh
anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, iaitu hati.” Kerana hatilah kita boleh tersasar jatuh
cinta, maka jagalah hatimu dengan sentiasa berzikir padaNya. "(Iaitu)
orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah
hati manusia.
Berhati-hatilah dengan hatimu, kerana dirimu begitu berharga
dipandangan Allah bukan di pandangan si dia. Cinta Allah terlalu Agung
berbanding cinta si dia yang boleh hilang dan meninggalkan dirimu pada
bila-bila masa sahaja. Cinta Allah kekal selamanya sampai ke syurga dan
yakinlah pada janjiNya untuk pertemuan dengan si halal bagi menyempurnakan kasih
sayang dimuka bumi yang terindah ini. Masa dan waktu menentukan segalanya
berserta doa yang sering dipanjatkan kepadaNya. Jagalah cinta kalian untuk yang
halal sahaja. InsyaAllah, masa itu akan tiba. Bersabarlah teman dengan memperbaiki
diri serta mencari ilmu rumahtangga yang bakal kita tempuhi.
Sebagai penutup kalam ini, saya ingin bawakan satu dalil Hadis yang
bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memadam yang buruk dengan buruk
juga, tetapi yang buruk (haram) dipadamkan dengan yang baik (halal).
Sesungguhnya yang kotor itu tidak boleh mensucikan yang kotor.” (Riwayat Ahmad,
1/387: Perawi Ahmad adalah thiqah kecuali sebahagiannya khilaf;
Majma’Az-Zawaid, 10/228). Setiap permasalahan couple itu ada penyelesaiannya
iaitu bernikah.
Semua itu fitrah kita sebagai manusia biasa, perasaan ini adalah
anugerah Allah yang tidak ternilai harganya, peliharalah keindahan perasaan
cinta yang dikurniakanNya, jangan sampai kesuciaan dan kemuliaan ini
menimbulkan fitnah dan menjadi sangkaan yang tidak baik kepada sesetengah
masyarakat yang melihatnya. Jadilah contoh yang terbaik dalam mengikuti sunnah Rasulullah
membina ikatan pernikahan. Percintaan selepas perkahwinan itu adalah salah satu
jalannya. Maka, jagalah diri, jagalah hati dan jagalah iman kita. InsyaAllah
dipermudahkan segala urusan.